Dalam ceramah bertajuk ‘Kesihatan Jantung dan Kecergasan’ sempena Seminar Wanita Sihat Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Selangor di Universiti Putra Malaysia, Serdang Selangor, Julaili Mat Jais; pensyarah daripada Institut Perguruan Bahasa Antarabangsa (IPBA) berkata ‘istilah perpeluhan sihat’ yang diamalkan sesetengah golongan wanita menggunakan perkhidmatan mandian sauna di spa sebenarnya ‘tidak kena’ dan tidak bermanfaat daripada segi kesihatan.
“Mereka yang mengamalkan mandian sauna bukannya membakar lemak dalam badan, namun hanya mengeluarkan air daripada badan sahaja. Fahaman seperti ini perlu dibetulkan segera kerana satu-satunya cara yang paling berkesan untuk membakar lemak sebenarnya adalah melalui cara senaman.” Ujarnya.
Menurutnya lagi, senaman yang dilakukan secara konsisten iaitu sekurang-kurangnya tiga kali seminggu akan membolehkan badan anda menjadi lebih sihat kerana semasa kita bersenam, jantung akan mengepam darah dengan kuat.
“Mereka yang normal akan merasakan degupan jantung yang tanpa henti selama 20 minit selepas melakukan aktiviti senaman. Selain itu, kita juga perlu fahami bahawa penyakit jantung sebanarnya berpunca daripada penyumbatan saluran arteri jantung oleh mendapan lemak.
Bagi melancarkan semula perjalanan saluran arteri tersebut, senaman yang diumpamakan sebagai ‘air panas yang dituangkan ke dalam saluran paip tersumbat’ boleh membantu mengelurakan mendapan lemak tersebut dan melancarkan aliran darah ke dalam jantung.” katanya.



